Sunday 28 January 2018

ROSLI DHOBY

 

     Selaku pelajar Politeknik Kuching Sarawak, kami ditugaskan untuk membuat satu E-Folio bagi subjek DUB1012 (Pengajian Malaysia).  Kami merupakan pelajar Semester 1 dari Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Automotif (DAD1B). Kumpulan kami terdiri daripada 3 ahli iaitu MOHD ZUNNUR AIN BIN LIAS (05DAD17F2003), BUDI SAPUTRA BIN MOHAMAD (05DAD17F2001) dan MOHD HAIRI BIN SAID (05DAD17F2005). Pensyarah kami iaitu PUAN NATRAH MAT NOOR telah memberikan kami sebuah tajuk E-Folio iaitu berkenaan tentang tokoh-tokoh perjuangan di Tanah Melayu ataupun Borneo. Hasil perbincangan bersama kumpulan kami memutuskan untuk memilih penceritaan kisah sebuah tokoh muda iaitu Rosli Dhoby. Sebelum memulakan E-Folio, kami ingin merakamkan sekalung penghargaan kepada PUAN NATRAH yang telah banyak membantu dan juga kepada pihak perpustakaan Politeknik Kuching kerana telah memberi pinjam kepada kami beberapa buah buku untuk tujuan sebagai rujukan. Kerjasama antara ahli kumpulan amat penting dalam menjayakan tugasan ini. Sekian itu sahaja. Selamat membaca semua!



     'Rosli Dhoby' adalah sebuah nama yang terpahat dalam sejarah kemerdekaan Bumi Kenyalang. Tidak dinafikan pada era modenisasi ini, ada juga sebahagian yang tidak tahu mengenai kisah perjuangan tokoh ini. Kaum muda di negara ini terutamanya perlu didedahkan tentang ceritera kehidupan Rosli Dhoby dan perjuangannya agar dapat diambil sebagai iktibar dan tauladan.

     Tokoh perjuangan yang disebutkan ialah seorang remaja yang diberi nama Rosli Dhoby. Beliau dilahirkan pada tanggal 18 Mac 1932 dan merupakan anak kepada pasangan Dhoby Bujang dan Habibah Haji Lamit. Ayah kepada Rosli iaitu Dhoby Buang berasal dari Palembang berketurunan Radin manakala ibunya, Habibah berketurunan Melanau,Mukah. Hasil daripada perkahwinan Dhoby Buang dan Habibah ialah seorang perempuan dan dua lelaki. Anak mereka ialah Fatimah yang dilahirkan pada tahun 1928, Rosli pada tahun 1932 dan Ainie pada tahun 1933. Rosli merupakan anak kedua di mana beliau mempunyai kakak dan adik lelaki.

     Sejak di bangku sekolah lagi beliau boleh dikatakan bersifat ulat buku kerana suka membaca buku-buku dan akhbar-akhbar. Selain itu, Rosli juga suka mendengar radio dan menonton wayang yang menayangkan kisah tentang bangsawan-bangsawan Melayu. Rosli ialah seorang anak muda pintar yang sentiasa dahagakan ilmu dan juga kreatif serta inovatif. Perilaku baik, tutur kata yang sopan dan berbudi bahasa yang ditunjukkan oleh Rosli Dhoby menjadikan rakan-rakannya selesa apabila bersama beliau. Keazaman Rosli yang tinggi membuatkan beliau lebih bersemangat dalam mengecapi cita-citanya untuk menjadi seorang guru yang hebat dan pemimpin yang disegani.

     Tambahan pula, Rosli juga seorang yang berbakat dalam bidang penulisan. Hal ini dibuktikan apabila salah satu puisinya yang berjudul 'PanggilanMu Yang Suchi' terpapar dalam utusan Sarawak. Kebiasaannya beliau menggunakan nama samaran Lidros di dalam penulisan agar identitinya tidak diketahui umum.

     Sejarah pendidikannya ialah Rosli pernah bersekolah di Methodist School Sibu. Pada sebelah petangnya pula, beliau menjadi guru di sekolah rakyat. Hal ini kerana ramai guru yang meletak jawatan sebagai tanda bantahan disebabkan oleh Circular No.9- yang melarang kakitangan kerajaan terlibat dengan Gerakan Anti-Penyerahan Sarawak. Dicatatkan lebih 400 orang kakitangan kerajaan yang meletak jawatan pada masa itu. Maktab Perguruan Melayu Sarawak kemudiannya terpaksa ditutup kerana kekurangan guru.

     Sejak usia 15 tahun lagi, Rosli Dhoby melibatkan diri dalam salah satu Gerakan Anti-Penyerahan dengan menyertai Gerakan Pemuda Melayu Sibu (GPMS). Gerakan Pemuda Melayu Sibu atau dikenali sebagai GPMS pada waktu itu dipimpin oleh Sirat Yaman. Tujuannya adalah untuk menentang penyerahan Sarawak kepada Britsh. Gerakan Anti-Penyerahan di Sarawak tidak mendapat sokongan selepas kematian Datu Patinggi Abang Haji Abdillah. Ini menyebabkan aktiviti-aktiviti penentangan semakin berkurangan.

     Sepanjang perjalanan perjuangannya bersama Gerakan Pemuda Melayu Sibu (GPMS), Rosli telah menjawat beberapa jawatan terpenting termasuk sebagai Penolong Setiausaha Agung GPMS, beliau bertemu dengan Awang Rambli Amit Awang Matsarudin iaitu Setiausaha Agung GPMS. Awang Rambli ini menjadi salah satu pembakar semangat buat Rosli Dhoby dalam meneruskan perjuangannya. Awang Rambli juga sebagai moderator dan penggerak GPMS. GPMS ini juga aktif dalam beberapa siri penentangan. Matlamat GPMS adalah mereka mahukan dan mengharap agar pentadbiran Brooke diteruskan dengan harapan akan membantu Sarawak ke arah berkerajaan sendiri. Rosli disifatkan sebagai 'pemikir yang pendiam'. Rosli juga telah mewakili GPMS dalam banyak persidangan. Adakalanya beliau dipanggil untuk berucap di sebuah majlis di Kuching.

     Tindakan Sir Charles Vyner Brooke yang menjual Sarawak kepada British dengan nilai 1 juta pound mencetuskan kemarahan penduduk Sarawak yang merasakan negeri mereka menjadi barang dagangan yang boleh dijual beli. Penduduk Sarawak mahukan keluarga Brooke menyerahkan Sarawak kepada mereka untuk memerintah negeri sendiri tetapi apa yang berlaku adalah di sebaliknya. Penyerahan Sarawak kepada British pada 1 Julai 1946 mencetus semangat penentangan di kalangan penduduk Sarawak.

     Sebelum itu, dua ahli Parlimen British, D.R Rees William dan L.D Gammans melawat Sarawak pada Mac 1946 untuk mendapatkan pandangan penduduk Sarawak mengenai isu penyerahan Sarawak sebelum dikemukakan kepada Majlis Negeri untuk kelulusan. Penduduk tempatan kurang faham mengenai maksud sebenar penyerahan dan kemudian isu tersebut diperdebatkan di Majlis Negeri. Keputusan selepas perdebatan memihak kepada sokongan penyerahan iaitu 19 undi menyokong dan 16 undi menentang. Undi yang menang tadi menyebabkan berlakunya Cession Day (Penyerahan Sarawak) kepada British pada 1 Julai 1946. Sementelah itu, rasa tidak puas hati penduduk menyebabkan tertubuhnya beberapa persatuan yang membentuk di bawah satu nama iaitu Gerakan Anti-Penyerahan.

     Seterusnya kita balik kepada kisah perjuangan Rosli Dhoby tadi. Beberapa tahun selepas berlakunya penyerahan Sarawak, Sibu pada 21 Februari 1949 melalui sebuah perjumpaan bersama. Anggota Rukun 13 ini terdiri daripada 13 orang ahli GPMS termasuk Rosli Dhoby. Sebuah perbincangan sulit diadakan oleh Rosli Dhoby bersama rakan-rakan Rukun 13 yang lain. Diketahui bahawa mereka merancang untuk membunuh Sir Duncan Stewart iaitu Gabenor British Borneo kedua Sarawak yang dijadualkan akan membuat lawatan rasmi ke Sibu pada 3 Disember 1949. Sebenarnya pada permulaan, Rosli Dhoby tidak mahu terlibat dengan perancangan pembunuhan itu tetapi beliau telah diyakinkan oleh seorang ahli Rukun 13 yang merupakan seorang peguam yang mahir dalam bidang undang-undang. Rosli telah dipilih untuk merealisasikan hasrat Rukun 13 kerana beliau adalah calon yang sesuai. Hal ini kerana Rosli baru sahaja berumur 16 tahun pada masa itu  dan menurut undang-undang, beliau tidak dikenakan hukuman mati apabila melakukan pembunuhan kerana di bawah umur.

     Sehari sebelum berlakunya peristiwa pembunuhan, Rosli kurang bercakap di rumah dan mengasingkan diri. Sebagai orang yang kuat beragama, Rosli bertawakal dan berserah kepada Allah. Di malam harinya, beliau menunaikan solat sunat sepanjang malam. Pagi tersebut Rosli bangun awal lebih kurang jam 5.00 pagi dan pergi ke rumah rakannya iaitu Morshidi Sidek. Beliau mengenakan pakaian hijau ala-ala pejuang Indonesia iaitu mengikut idolanya, Sukarno. Pada bahagian dalam baju tersebut, terdapat kalimah-kalimah suci Al-Quran. Perkara ini telah disahkan oleh Bolhassan Ainie iaitu anak buah Rosli yang masih menyimpan baju tersebut sehingga kini.


     Pada 3 Disember 1949, penduduk Sibu berkumpul menyambut kedatangan Sir Duncan Stewart. Barisan dibuat dan kibaran bendera Inggeris dan Sarawak oleh penduduk Sibu. Ahli-ahli Rukun 13 juga berkumpul dan berada dalam kalangan barisan tersebut. Morshidi Sidek berlakon sebagai jurugambar untuk melalaikan gabenor dan polis. Morshidi mengambil gambar gabenor yang kemudiannya menyebabkan Sir Duncan Stewart terpaksa berhenti. Kira-kira jam 9.30 pagi, Rosli meluru ke arah gabenor sambil melaung "Keluar dari Sarawak atau kamu mati"! lalu menusuk sebuah pisau kelasi yang disapukan racun asid urik ke perut Sir Duncan Stewart. Menurut satu sumber, pisau kelasi ini adalah hadiah daripada seorang rakan beliau sebagai tanda perjuangan Rukun 13. Selepas itu, Morshidi menyerang pegawai Inggeris berdekatan yang namanya dikenali sebagai Mr. Dilks. Rosli Dhoby dan Morshidi Sidek kemudiannya diberkas. Sir Duncan Stewart yang parah ditikam oleh Rosli, dikejarkan ke Hospital Lau King Howe, Sibu dan seterusnya dihantar ke Singapura unuk rawatan lanjut. Sir Duncan Stewart kemudiannya meninggal 7 hari kemudian iaitu pada 10 Disember 1949. Ahli Rukun 13 yang lain kemudiannya ditahan dan dimasukkan ke dalam penjara.

     Beberapa ketika ditahan sementara menunggu keputusan pengadilan, polis gurkha datang ke rumah kakaknya Fatimah yang sedang mengandung, memintakan sijil beranak Rosli untuk prosedur pembebasan beliau. Kakaknya Fatimah tanpa berfikir panjang menyerahkan sijil beranak adiknya Rosli dan berharap mudah-mudahan Rosli yang dirindui akan dibebaskan. Surat beranak yang membuktikan Rosli berusia 16 tahun pada waktu tidak boleh dihukum mati kerana masih juvana telah dikhianati oleh British. Tarikh lahirnya telah diubah supaya melebihi 18 tahun dan kelayakan Rosli dijatuhkan hukuman mati.

     Tiga kali perbicaraan diadakan di Mahkamah Sibu. Keesokan selepas hari perbicaraan, kesemua ahli Rukun 13 dihantar ke Kuching untuk perbicaraan di Kuching. Pada 15 Disember 1949, Rosli Dhoby, Morshidi Sidek, Awang Rambli Amit dan Bujang Suntong dijatuhkan hukuman oleh pihak mahkamah. Manakala ahli Rukun 13 yang lain dijatuhkan hukuman buang negeri dan penjara.


     Harinya telah tiba iaitu pada 2 Mac 1950, Rosli Dhoby dan Morshidi Sidek dijatuhkan hukuman gantung manakala Awang Rambli dan Bujang Suntong digantung pada 23 Mac 1950. Hukuman  mereka dijalankan di Penjara Pusat Kuching dan dikebumikan di situ juga tanpa batu nisan. Ahli keluarga mereka tidak dibenarkan melihat jenazah dan diuruskan sendiri oleh pihak penjara. Sehari sebelum Rosli Dhoby digantung, beliau sempat mewasiatkan surat terakhir kepada keluarganya. Inilah isi kandungan surat tersebut:




Kepada ibu bapaku yang dimulai dan ditaaati serta dicintai siang dan malam.



1. Selamat berpisah anakanda ucapkan di atas kematian anakanda yang dahsyat. Janganlah diingat-     ingat dan dirayukan kerana itu memang sudah nasib dan takdir anakanda yang tak dapat dielakkan   dan dimungkirkan lagi.



2. Peliharakanlah adik dan kakak serta semua ahli kita - Berikan segala pelajaran sama ada 'Sunat     atau 'Fardu' kepada mereka.



3. Ampunilah dosa dan kesalahan anakanda dari merah tapak kaki dipelihara ayahanda dan bonda   sehingga hari perpisahan anakanda. Dan halalkanlah makan minum anakanda.



4. Selimutilah jenazah anakanda dengan Panji Kebangsaan Sarawak.



5. Segala perkakas tulis menulis, buku dan pakaian anakanda itu , berikan kesemuanya kepada Adik   Aini.


(Datuk Aini Dhoby adalah seorang pengasas Barisan Rakyat Jati Sarawak dalam tahun 1961 bersama dengan Tun Ahmad Zaidi, bekas Ketua Menteri Sarawak ketiga dan Yang Dipertua Negeri Sarawak yang keempat, Tun Abdul Rahman Yaakub, dan Ketua Menteri Sarawak keempat, Tan Sri Dr. Abdul Taib Mahmud. Barisan Rakyat Jati Sarawak atau BARJASA kemudian dinamakan Parti Bumiputra Sarawak dan akhirnya Parti Pesaka Bumiputra Bersatu Sarawak atau PBB.)




6. Sementara anak kecil Fatimah, berilah dengan nama ROSLI sempena memperingati anakanda.



7. Sampaikanlah salam hormat dan maaf serta selamat dari anakanda kepada ibu tua dan bapa saudara anakanda.



8. Ayahanda dan bonda serta ahli keluarga sekalian janganlah lupa mengamalkan kebajikan dan mendirikan sembahyang untuk bekalan istimewa ke alam yang kekal.



Salam sembah dari anakanda.



Rosli Dhoby. 



1 Mac, 1950



     Sebelum menjalani hukuman, Rosli Dhoby menyerahkan surat terakhirnya kepada seorang warden yang bernama Sumarja Mohamad atau Pak S. Berikut adalah isi kandungannya:
    Dengan secharek kertas ini dan se-putung pensil untuk renyngan sepanjang masa. Saya si-penulis Rosli Dhoby dalam lindungan Permai Saudara2 dan saudari2 sa-perjuangan saya ta' lama lagi akan meninggalkan jejak tanah tumpahnya darahku yang ku chintai dan utama sekali ayah bunda yang ku kasehi dan saudara2 semua , dengan nama Allah sifat pemurah dan pengampun saya menyusun 10 jari mohon ampun dan maaf atas kesalahan saya yang telah terjadi selama ini, sasya sanggup berkorban nyawa untuk memperbaiki rayat yang telah di-budaki oleh penjajah, saya mengaku dan terima  apa2 kesalahan di dunia ini saya ta' genter saya ta' takut mati saya terima hukuman yang telah di-jatohkan di-mahkamah. Saya berdoa kepada Allah Sabha Wataala. Saudara2 saudari2 di-ahir kelak balek ke-pangkuan Ibu pertiwi. Sungguh begitu saya sudah sanggup menghapuskan orang putih yang berasin dan datang-nya tetapi nanti saya sudah tidak ada di-Dunia ini nama saya tetap harum seluroh Dunia sa-genap plusuk. Akhir kata, hey! Saudara2 saudari2 sekalian berjuanglah jangan mundur maju lah ka-hadapan.
    Amin ya rabbul alamin berkat doa lailaha-illahi Muhammada Rasulullah.
    Dan saya uchapkan jutaan terima kaseh kepada Pak S. Allah sahaja lah yang akan membalas jasa-nya dengan penuh layanan, nasehat yang belom pernah di-dengar oleh saya dari awal hingga ahir.
    Harap ini surat jangan sekali di-beri se-siagapun. Simpan baik2 barangkali di-lain masa ada guna-nya.



Di-tulis pada

1 - 3 - 1950
                                                                      Saya yang akan meninggalkan dunia yang endah ini  
                                                                                                             R. D .                                                      



 
  Namun begitu, pada 2 Mac 1996, kubur Rosli Dhoby dan rakan-rakannya digali semula untuk dipindahkan dan dikuburkan di Makam Pahlawan di Masjid An-nur, Sibu. Tetapi satu kejadian aneh berlaku sewaktu kubur Rosli Dhoby digali, tiada tulang rangka, gigi mahupun rambut ditemui berbeza dengan 3 sahabatnya yang lain. Seolah-olah benarlah cerita yang mengatakan bahawa isteri kepada Sir Duncan Stewart ingin melihat wajah si 'pembunuh' suaminya. Dikatakan Rosli tidak digantung tetapi di bawa ke England untuk diperlihatkan kepada isteri Gabenor. Kemungkinan di sana Rosli diseksa, dibunuh, dicincang atau dicampak ke laut. Wallahu a'lam. Hanya Allah yang lebih mengetahui.


   Sedikit sebanyak kisah tentang Rosli Dhoby yang dicoretkan di atas tadi dapat memberi kita pengetahuan mengenai sejarah pejuangan tokoh mulia ini. Tidak lupa juga kepada insan-insan lain yang membantu dalam menjayakan hasrat penduduk untuk mendapatkan kemerdekaan Sarawak. 'Biar putih tulang, jangan putih mata'. Apa yang kita kecapi hari ini adalah hasil daripada keringat dan penat lelah pejuang-pejuang tanah air pada zaman dahulu yang mencuba sedaya upaya untuk melepaskan bumi tercinta daripada cengkaman penjajah. Justeru itu, rakyat pada hari ini perlulah bersyukur akan keamanan yang dikecapi hari ini dan menghargai jasa-jasa pejuang kemerdekaan terdahulu yang telah banyak berkorban demi kehidupan generasi yang akan datang. Kisah Rosli Dhoby ini perlulah diambil sebagai iktibar dan tauladan. Keberanian beliau yang cukup mengagumkan demi memperjuangkan kebebasan Sarawak walaupun pada usia 16 tahun perlu dicontohi oleh anak muda generasi sekarang agar tenaga yang ada digunakan untuk menyumbang kepada kemajuan negara. Ibarat 'harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama'. Nama, jasa dan pengorbanan orang-orang terdahulu hendaklah sentiasa dikenang dan disematkan di dalam hati. Al-Fatihah buat Rosli Dhoby dan juga rakan-rakan seperjuangannya.


#sarawakfreedom
#FightTillTheEnd

RUJUKAN:
1.https://en.wikipedia.org/wiki/Rosli_Dhobi
2.Rudi Affendi Khalik https://sarawakvoice.com/2016/03/02/rosli-dhobi-pejuang-paling-
   berani-boestamam/ 2 March 2016
3.http://ww1.utusan.com.my/utusan/Sastera/20130113/sa_03/Singkap-perjuangan-Rosli-
   Dhoby
4.https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2017/11/345808/penyimpan-warisan-rosli-
   dhoby-meninggal-dunia 3 November 2017
5.Nordi Achie Buku (Akhbar Melayu Perjuangan di Sarawak) 1870
6.Ramlah Binti Adam, Abdul Hakim Bin Samuri dan Muslimin Bin Fadzil Buku teks Sejarah
   Tingkatan 3 Dewan Bahasa dan Pustaka
7.Jeniri Amir Buku (Merdeka Dengan Darah) 21 June 2014



Ahli kumpulan : 1. Mohd. Zunnur Ain Bin Lias (05DAD17F2003)
                           2. Budi Saputra Bin Mohamad (05DAD17F2001)
                           3. Mohd Hairi Bin Said (05DAD17F2005)